Skip to main content

KESAN-KESAN MEROKOK DALAM KALANGAN MASYARAKAT


Sememangnya diakui bahawa tabiat merokok telah lama dan menjadi sebati dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia. Tabiat ini kini telah menular ke seluruh lapisan masyarakat khususnya golongan pelajar dan remaja. Tabiat ini amat sukar untuk dibendung kerana di dalam rokok, terdapat sejenis dadah yang menjadi unsur penarik dan menyebabkan penggunanya berasa seronok. 

Peningkatan bilangan perokok sememangnya merungsingkan banyak pihak. Di Malaysia, kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM 17 juta untuk menjayakan kempen Tak Nak (merokok) nagi membebaskan bumi Malaysia daripada kepulan asap rokok. Walau bagaimanapun, masih ramai lagi menjadi perokok di negara kita.


            Sebagaimana kita tahu bahawa amalan merokok sememangnya merugikan semua pihak malah memberikan banyak kesan sampingan kepada si perokok. Kajian saintifik menunjukkan kandungan nikotin dalam rokok merupakan faktor utama penyebab ketagihan. Oleh itu, tidak hairanlah rokok amat sinonim dengan pelbagai penyakit berbahaya seperti kanser paru-paru, kanser mulut, batuk kering, penyakit jantung, barah pundi kencing, kerongkong serta masalah saluran pernafasan. Merokok juga boelh melemahkan akal dan menyukarkan pernafasan. Selain itu, rokok juga mengakibatkan perasaan gementar dan malas.

            Seterusnya, amalan merokok mendatangkan beberapa implikasi yang buruk. Antaranya, mereka yang ketagih merokok terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk membeli rokok. Menurut kajian yang dilakukan, seseorang yang ketagih merokok sanggup mengeluarkan beratus-ratus ringgit semata-semata untuk membeli rokok setiap hari. Merokok juga menjejaskan keterampilan diri. Misalnya, seseorang yang merokok semestinya mempunyai nafas yang berbau busuk. Apabila perokok tersebut bergaul dan menuturkan kata-kata dengan rakan-rakan yang lain, tentunya akan mengeluarkan bau yang kurang disenangi. Akibatnya, rakan-rakan akan menjauhkan diri kerana tidak tahan dengan bau asap rokok dan penampilan diri turut terjejas.
            
Bagi wanita yang merokok pula, mereka menganggap bahawa merokok sebagai lambang gaya hidup yang moden. Wanita yang merokok sering berasa mereka mempunyai stail tersendiri dan berbangga dengan gaya hidup mereka. Sesetengah wanita menggunakan rokok sebagai cara untuk menurunkan berat badan. Kesan merokok terhadap wanita lebih serius berbanding lelaki. Wanita hamil yang merokok misalnya akan membahayakan janin dalam kandungannya. Rokok boleh memudaratkan dan meracuni janin. Bayi wanita merokok lebih terdedah kepada risiko kematian pada bulan awal kelahirannya. Maka lebih teruk lagi kebanyakkan wanita perokok melahirkan bayi yang telah mati sejak dalam kandungan lagi.

            Selain memberi kesan kepada janin, rokok juga amat berbahaya kepada kanak-kanak. Wanita perokok yang menyusui bayinya boleh memindahkan nikotin kepada bayi secara langsung menerusi susu badan. Tabiat merokok dalam kalangan masyarakat boleh meningkatkan kadar kematian akibat terdedah kepada pelbagai bahan kimia yang terdapat dalam rokok. Kepulan asap rokok bukan sahaja membahayakan kesihatan malah dapat mencemarkan udara disekelilingnya.

            Kesimpulannya, sudah terang lagikan bersuluh bahawa amalan merokok ini sebenarnya tidak mendatangkan sebarang kebaikan dan sebaliknya hanya mendatangkan keburukan bukan sahaja pada diri malah pada masyarakat disekeliling. Oleh itu, semua pihak hendaklah menghakis tabiat merokok agar kesihatan yang baik boleh diperolehi. Ibu bapa yang merokok juga hendaklah berhenti mengamalkan tabiat ini supaya anak-anak dapat mencontohi sikap tersebut, bak kata pepatah “bagaimana acuan begitulah kuihnya” ataupun “bapa borek anak rintik”.

Comments